FOTOSFERA
Fotosfera ialah lapisan permukaan Matahari yang dapat kita lihat dan paling kerap diperhatikan. Walaupun sering dianggap sebagai permukaan Matahari, fotosfera sebenarnya bukan lapisan pepejal kerana Matahari merupakan bebola gas. Sebaliknya, fotosfera ialah lapisan gas yang memancarkan sebahagian besar cahaya Matahari yang sampai ke Bumi. Lapisan ini hanya setebal kira-kira 100 km, iaitu sangat nipis berbanding jejari Matahari yang mencapai kira-kira 700,000 km.
Suhu di fotosfera adalah sekitar 3 500 hingga 5 500 °C. Di atas fotosfera terletaknya dua lagi lapisan atmosfera Matahari, iaitu kromosfera dan korona. Kedua-dua lapisan ini biasanya sukar dilihat kerana ketumpatan gasnya sangat rendah dan hanya dapat diperhatikan dengan jelas semasa gerhana Matahari penuh.
Fotosfera merupakan lapisan Matahari yang memaparkan pelbagai ciri pada permukaannya, termasuk granul dan tompok matahari. Granul ialah corak berbutir pada permukaan Matahari yang terbentuk akibat arus perolakan plasma panas dari zon perolakan di bawahnya. Setiap granul mempunyai diameter sekitar 1 000 km dan suhu kira-kira 5 800 °C. Plasma panas di bahagian tengah granul akan naik ke permukaan, manakala plasma yang lebih sejuk akan turun semula melalui ruang di antara granul. Pergerakan berterusan ini membantu membawa tenaga dari bahagian dalam Matahari ke permukaannya.
KROMOSFERA
Kromosfera ialah lapisan atmosfera Matahari yang terletak di atas fotosfera. Walaupun lebih nipis, lapisan ini jauh lebih panas berbanding fotosfera. Nama kromosfera bermaksud “sfera warna” kerana lapisan ini kelihatan berwarna merah jambu semasa gerhana Matahari penuh akibat kehadiran hidrogen terion dalam jumlah yang banyak.
Suhu dalam kromosfera meningkat dengan ketinggian, daripada sekitar 6 000 °C di bahagian bawah kepada lebih 20 000 °C di bahagian atas. Peningkatan suhu ini merupakan salah satu ciri unik atmosfera Matahari dan berkait rapat dengan aktiviti medan magnetnya. Keadaan ini menjadikan kromosfera kawasan yang sangat aktif. Aktiviti di kromosfera banyak dipengaruhi oleh medan magnet Matahari. Apabila medan magnet yang tersimpan menjadi tidak stabil, sejumlah besar tenaga akan dibebaskan secara tiba-tiba dalam bentuk nyalaan suria (solar flare). Nyalaan suria ialah salah satu fenomena cuaca angkasa yang boleh memberi kesan kepada atmosfera Bumi.
KORONA
Korona ialah lapisan atmosfera Matahari yang paling luar. Korona biasanya hanya dapat dilihat semasa gerhana Matahari penuh sebagai “mahkota putih” yang mengelilingi Matahari. Bentuknya sentiasa berubah mengikut aktiviti Matahari dan kitaran tompok matahari.
Mungkin sukar dipercayai, walaupun korona mempunyai ketumpatan gas yang amat rendah, suhunya boleh melebihi 1 juta °C, iaitu jauh lebih panas daripada permukaannya (fotosfera) yang hanya bersuhu sekitar 5,500 °C. Punca sebenar pemanasan melampau ini masih menjadi salah satu persoalan yang belum dapat dijelaskan sepenuhnya dalam fizik suria. Dahulu, ahli astronomi menyangka korona mengandungi unsur baharu yang dinamakan “koronium”. Namun, kajian lanjut menunjukkan bahawa garis spektrum yang diperhatikan sebenarnya terhasil daripada unsur-unsur yang sangat terion akibat suhu korona yang amat tinggi, bukannya daripada unsur baharu.
Korona merupakan tempat permulaan terjadinya angin suria, iaitu aliran zarah bercas yang bergerak keluar dari Matahari ke seluruh Sistem Suria. Selain itu, fenomena seperti lentingan jisim korona (Coronal Mass Ejection, CME) juga berlaku di lapisan ini. Fenomena ini berlaku apabila sejumlah besar plasma dan medan magnet “terpelanting” ke angkasa. Angin suria dan CME merupakan antara fenomena cuaca angkasa yang boleh memberi kesan kepada magnetosfera serta atmosfera Bumi, termasuk menghasilkan aurora dan mengganggu sistem komunikasi, navigasi serta operasi satelit.

