TOMPOK MATAHARI
Tompok Matahari ialah kawasan gelap dan lebih sejuk (~3700°C) berbanding permukaan Matahari yang biasa (~5500°C). Ia dikaitkan dengan medan magnet Matahari atau fluks yang sentiasa berubah. Ia merupakan lokasi letusan yang amat besar di fotosfera, ia boleh membesar dengan mencapai saiz yang lebih besar daripada Bumi. Fenomena ini mungkin berlarutan lebih daripada seminggu. Fenomena tompok matahari selalunya wujud secara berpasangan atau berkumpulan. Kawasan tompok matahari merupakan sumber kepada fenomena nyalaan suria. Oleh itu, nyalaan suria boleh dijejaki melalui kedudukan tompok matahari.
KITARAN SURIA
Kitaran suria ialah aktiviti tompok matahari yang wujud dan lenyap mengikut pusingan lebih kurang 11 tahun. Oleh itu, bilangan tompok matahari sering dijadikan petunjuk kepada kitaran suria.
Satu kitaran suria lengkap dapat ditentukan berdasarkan kenaikan dan penurunan jumlah tompok yang mempunyai empat fasa iaitu fasa menaik, maksimum, menurun dan minimum. Sebagai contoh, kitaran suria ke-24 diguna pakai di mana ia bermula pada Disember 2008 sehingga Disember 2019 iaitu mengambil masa selama 11 tahun untuk melengkapi satu kitaran. Selain itu terdapat parameter lain boleh menjadi petunjuk kitaran suria seperti indeks F10.7. Indeks ini adalah ukuran pancaran gelombang mikro dari Matahari pada frekuensi 10.7 cm (2.8 GHz), yang berasal dari lapisan korona dan kromosfera. Indeks F10.7 sering digunakan untuk meramal keadaan cuaca angkasa dan perkembangan kitaran suria.

