Skip to main content Scroll Top

Ribut Geomagnet

Ribut geomagnet ialah gangguan pada medan magnet Bumi yang berlaku apabila angin suria atau CME berinteraksi dengan magnetosfera Bumi. Dalam keadaan tertentu, garisan medan magnet boleh berubah susunan seolah-olah terputus dan kemudian bersambung semula melalui proses yang dikenali sebagai penyambungan semula medan magnet (magnetic reconnection). Proses ini membolehkan tenaga daripada angin suria dipindahkan ke dalam magnetosfera Bumi.

Sebahagian zarah bercas daripada angin suria atau CME akan terperangkap dalam magnetosfera dan bergerak mengikut garisan medan magnet menuju ke kawasan kutub. Apabila zarah-zarah ini berlanggar dengan atom oksigen dan nitrogen di atmosfera Bumi, tenaga dibebaskan dalam bentuk cahaya yang dikenali sebagai aurora.

Semasa ribut geomagnet, tenaga yang dipindahkan ke atmosfera Bumi boleh meningkatkan ketumpatan atmosfera dan menjejaskan pergerakan satelit di orbit rendah. Selain itu, ribut geomagnet juga boleh mengganggu komunikasi radio, sistem navigasi seperti GPS serta menghasilkan arus teraruh yang boleh menjejaskan grid bekalan elektrik.

Views: 82