Gangguan pada Komunikasi Radio
Cuaca angkasa boleh mengganggu operasi satelit yang digunakan untuk komunikasi dan navigasi. Zarah bercas daripada Matahari dan ribut geomagnet boleh menjejaskan sistem elektronik satelit serta mengganggu isyarat yang dihantar antara satelit dan Bumi. Gangguan pada ionosfera pula boleh mengurangkan ketepatan sistem navigasi seperti GPS (Global Positioning System), menyebabkan kelewatan atau kehilangan isyarat. Keadaan ini seterusnya boleh menjejaskan pelbagai perkhidmatan yang bergantung kepada navigasi satelit, termasuk penerbangan, pengangkutan laut, kenderaan dan perkhidmatan berasaskan lokasi.
Sebagai contoh, ribut geomagnet sederhana pada 3–4 Februari 2022 menyebabkan 40 daripada 49 satelit Starlink yang baru dilancarkan ke orbit rendah Bumi (Low Earth Orbit) gagal mencapai orbit dan akhirnya terbakar ketika memasuki semula atmosfera.
Gangguan pada Komunikasi Radio
Gangguan pada ionosfera yang disebabkan oleh cuaca angkasa boleh menjejaskan komunikasi radio yang digunakan dalam penerbangan, pengangkutan maritim dan penyiaran. Perubahan pada ionosfera boleh menyebabkan isyarat radio menjadi lemah, terganggu atau hilang. Keadaan ini boleh menjejaskan komunikasi antara pesawat dengan pusat kawalan trafik udara serta antara kapal dan pusat kawalan di darat.
Sebagai contoh, pada 6 September 2017, nyalaan suria kelas X9.3 menyebabkan komunikasi radio HF terputus di kawasan Caribbean. Ketika itu, Taufan Irma dan Taufan Jose sedang melanda Caribbean, di mana komunikasi HF amat diperlukan untuk operasi bantuan dan tindak balas kecemasan. Isyarat radio yang terputus ini telah menyukarkan usaha komunikasi pihak berkuasa untuk menguruskan kesan taufan.
Pada hari yang sama, pihak berkuasa penerbangan Perancis melaporkan kehilangan hubungan radio HF dengan sebuah pesawat selama kira-kira 90 minit ketika pesawat berada berhampiran kawasan Caribbean. Keadaan ini menyebabkan fasa amaran diaktifkan sehingga laporan kedudukan pesawat diterima melalui radio New York.
Sumber: Adaptasi dari Redmon et al 2018
GANGGUAN TERHADAP GRID KUASA ELEKTRIK
Ribut geomagnet yang kuat boleh menyebabkan perubahan medan geomagnet yang menghasilkan arus elektrik tambahan dalam talian penghantaran kuasa. Arus ini, yang dikenali sebagai arus teraruh geomagnet (Geomagnetic Induced Current, GIC), boleh memberi tekanan kepada transformer dan peralatan grid, sehingga menyebabkan gangguan atau kegagalan sistem bekalan elektrik.
Sebagai contoh, semasa ribut geomagnet pada 10–12 Mei 2024, arus teraruh geomagnet (GIC) menyebabkan gangguan pada sebuah transformer di selatan Sweden. Gangguan ini menyebabkan sambungan talian kuasa antara Sweden dan Poland terputus selama kira-kira 2 jam, menunjukkan bagaimana ribut geomagnet yang kuat boleh menjejaskan operasi grid kuasa elektrik.

