Cuaca angkasa bukan sahaja boleh mempengaruhi teknologi moden, malah turut memberi kesan kepada manusia dan alam semula jadi. Interaksi antara aktiviti Matahari dengan atmosfera dan magnetosfera Bumi boleh mencetuskan pelbagai fenomena semula jadi serta mempengaruhi sesetengah hidupan di Bumi.
RISIKO KEPADA ANGKASAWAN
Angkasawan yang menjalankan aktiviti di luar kapal angkasa terdedah kepada persekitaran ruang angkasa yang mempunyai tahap radiasi lebih tinggi berbanding di permukaan Bumi. Kajian menganggarkan semasa berlakunya nyalaan suria yang kuat, risiko seorang angkasawan menerima dos radiasi melebihi 0.1 gray (Gy) selepas 100 jam aktiviti di luar kapal angkasa (EVA) adalah sekitar 10%. Dos 0.1 Gy bermaksud tubuh menyerap tenaga radiasi sebanyak 0.1 joule (J) bagi setiap kilogram tisu. Semakin tinggi dos radiasi yang diterima, semakin tinggi risiko kerosakan sel dan DNA serta kesan terhadap kesihatan.
Sumber: NASA
OZON
Radiasi yang terdapat di angkasa bukan sahaja berbahaya kepada angkasawan, malah berbahaya juga kepada penduduk di Bumi. Kebanyakan sinaran berbahaya seperti sinar-X telah diserap oleh lapisan ozon, namun sinaran yang berlebihan boleh membocorkan lapisan ozon. Kebocoran lapisan ozon menyebabkan hidupan di Bumi, terutamanya pekerja penerbangan yang melalui kawasan kutub, terdedah kepada sinar EUV yang tinggi. Sinar EUV yang berlebihan boleh mengakibatkan kanser dan bilangan pesakit yang didiagnos sebagai kanser servik.
HAIWAN
Selain manusia, cuaca angkasa juga boleh mempengaruhi keupayaan navigasi semula jadi sesetengah haiwan yang menggunakan medan geomagnet sebagai panduan arah. Sebagai contoh, gangguan pada medan geomagnet semasa berlakunya ribut geomagnet boleh menyebabkan haiwan seperti ikan paus dan ikan lumba-lumba tersasar daripada laluan asalnya sehingga meningkatkan risiko kejadian terdampar di pantai.
Paus terdampar di sekitar Laut Utara mungkin disebabkan oleh ribut geomagnet yang dicetuskan oleh aktiviti Matahari
Sumber: BBC
AURORA
Tidak semua kesan cuaca angkasa bersifat mengganggu atau merosakkan. Salah satu fenomena alam yang paling menarik terhasil daripada interaksi antara aktiviti Matahari dengan Bumi ialah aurora. Aurora terbentuk apabila zarah bercas daripada angin suria berinteraksi dengan atom dan molekul di atmosfera atas Bumi, lalu menghasilkan cahaya berwarna-warni di langit. Aurora lazimnya kelihatan di kawasan berhampiran kutub seperti Norway, Sweden, Alaska, Australia dan Antartika. Namun, ketika ribut geomagnet yang kuat, aurora boleh kelihatan pada latitud yang lebih rendah. Sebagai contoh, aurora merah pernah dilaporkan kelihatan di Hokkaido pada Disember 2023, manakala kejadian aurora yang lebih meluas berlaku di beberapa kawasan Eropah pada bulan Mei 2024.
Sumber : Kataoka et al. 2024

