ZON RADIASI
Tenaga dari teras dibawa oleh foton (zarah cahaya) melalui zon radiatif (radiative zone), kemudian melalui zon perolakan (convection zone), sebelum sampai ke fotosfera. Dalam zon radiasi ini, tenaga yang dihasilkan di teras dipindahkan keluar secara perlahan. Zon radiasi merangkumi sekitar 70% radius matahari dan di sini, tenaga dipindahkan dalam bentuk foton, zarah cahaya yang bergerak melalui lapisan ini. Walaupun foton bergerak pada kelajuan cahaya, mereka sering berlanggar dengan zarah lain, seperti proton dan elektron, menyebabkan mereka ditaburkan (scattered) ke pelbagai arah. Ini menjadikan pergerakan foton sangat perlahan, sehingga tenaga yang mengambil masa hanya beberapa saat untuk dihasilkan dalam teras memerlukan berjuta-juta tahun untuk sampai ke zon perolakan. Walaupun cahaya bergerak dengan sangat laju, ia mengambil masa yang lama untuk sampai ke zon seterusnya kerana zon radiasi ini sangat padat. Cahaya memerlukan kira-kira sejuta tahun untuk melalui zon ini. Ketumpatan bahan dalam zon radiasi menurun dari sekitar 20 g/cm³ di bahagian bawah (hampir sama dengan ketumpatan emas) kepada hanya 0.2 g/cm³ di bahagian atas (lebih rendah daripada ketumpatan air). Suhu juga menurun dari 7 juta darjah Celsius di bahagian bawah ke sekitar 2 juta darjah Celsius di bahagian atas zon ini.
ZON PEROLAKAN
Zon perolakan adalah lapisan paling luar dalam bahagian dalaman matahari. Ia bermula pada kedalaman sekitar 200,000 km hingga ke permukaan yang kita boleh lihat. Di dasar zon perolakan, suhu adalah sekitar 2 juta darjah Celsius. Suhu ini “cukup sejuk” untuk membolehkan ion yang lebih berat (seperti karbon, nitrogen, oksigen, kalsium, dan besi) mengekalkan sebahagian elektron mereka. Ini menjadikan bahan dalam zon ini lebih pekat dan sukar ditembusi oleh radiasi (cahaya dan tenaga) dari zon di bawahnya. Akibatnya, haba terperangkap, menjadikan cecair di dalam zon ini tidak stabil, dan ia mula “mendidih” atau bergerak dalam bentuk aliran perolakan. Perolakan berlaku apabila perbezaan suhu (kadar penurunan suhu dengan ketinggian) menjadi lebih besar daripada apa yang boleh dijangkakan jika tiada penambahan haba. Apabila ini berlaku, bahan yang lebih panas mula bergerak ke atas kerana lebih ringan berbanding bahan di sekelilingnya, dan ia akan terus naik ke permukaan. Gerakan perolakan ini membawa haba dengan cepat ke permukaan. Apabila bahan tersebut naik, ia mengembang dan menjadi lebih sejuk. Pada permukaan yang boleh dilihat, suhu telah menurun kepada sekitar 5,700 K, dan ketumpatan bahan di situ hanya sekitar 0.0000002 g/cm³ (lebih kurang 1/10,000 ketumpatan udara di permukaan laut). Di zon ini, wujud satu kawasan yang kelihatan berbutir dikenali sebagai granul di permukaan matahari, di mana granul adalah sel-sel besar bahan yang membawa tenaga ke atas dan berperanan dalam menghasilkan medan magnet kompleks di matahari, yang bertanggungjawab terhadap fenomena seperti tompok matahari dan lentingan jisim korona.

